Datuk Fakharuddin Ariff (dua dari kanan) dalam lawatannya meninjau rumah pam di Pekan hari ini.

PEKAN – Sebanyak 160 juta liter padu air sehari dapat disalurkan kepada penduduk Pekan apabila projek Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong yang dijangka siap pada September 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Fakhruddin Ariff berkata, projek itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 akaun pengguna di sekitar Tanjung Batu, Nenasi dan Merchong.

“Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) turut akan berusaha bersama pihak ECERDC untuk menambah kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) di Ganchong.

“Melalui pembinaan rumah pam dan pemasangan paip-paip di LRA Ganchong, air akan disalurkan ke tangki di Tanjung Agas seterusnya melalui tangki Tanjung Agas dengan pembinaan paip-paip baharu juga, air akan disalurkan pula ke loji di Nenasi,” katanya, hari ini.

Melalui loji Nenasi, air akan disalurkan terus kepada penduduk di sekitar kawasan Tanjung Batu dan Merchong serta kampung Orang Asli dan kawasan pedalaman.

Tambahnya, masalah air berbau, payau, berwarna dan tekanan rendah yang dihadapi penduduk selama ini juga akan dapat diatasi dengan siapnya projek itu nanti.

Terdahulu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah meluluskan sejumlah RM184.4 juta peruntukkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan tumpuan di negeri ini.

Ia sekaligus menambah kapasiti rizab pengeluaran beberapa loji rawatan air di seluruh Pahang pada tahun ini membabitkan 70 projek bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih yang lebih sempurna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast