KUALA LUMPUR – Doodle hari ini memberi penghormatan kepada mendiang Dr. Lim Boo Liat, seorang ahli zoologi dan mamalia terkemuka yang mendedikasikan hidupnya untuk mencungkil dan memulihara kepelbagaian biologi Malaysia.

Beliau membantu memulakan Zoo Negara dan telah menulis lebih daripada 300 penerbitan saintifik tentang mamalia dan parasitologi.

Pada hari ini pada tahun 2003, Lim dianugerahkan Keahlian Kehormat kepada Persatuan Ahli Mamalia Amerika (dikenali sebagai American Society of Mammalogists, atau ASM) untuk sumbangan cemerlang beliau kepada ilmu sains mamalia.

Beliau merupakan orang Asia Tenggara pertama (dan orang Asia ke-empat) untuk menjadi seorang Ahli Kehormat ASM, sebuah anugerah yang diasaskan pada tahun 1919.

Lim dilahirkan pada 21 Ogos 1926 di Klang, Selangor, mulu mula-mula terdedah kepada haiwan dan serangga kecil semasa di sekolah menengah apabila beliau sering pergi ke taman sekolah tersebut.

Dr Lim Boo Liat ketika melakukan pembedahan spesimen.

Pada tahun 1941, Perang Dunia II melanda Malaysia dan Lim yang baru berusia 16 tahun terpaksa meninggalkan pengajiannya dan mengambil pekerjaan sampingan untuk menyara keluarganya. Ini membawanya ke Pulau Carey di persisiran pantai Selangor pada tahun 1944, yang mana beliau telah berkawan dengan sekumpulan Orang Asli, dan belajar bagaimana untuk mengenal pasti pelbagai haiwan daripada mereka.

Pada 1947, selepas perang tersebut, beliau memohon kerja sementara sebagai Pembantu Makmal di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.

Pengetahuan zoologi yang beliau terima daripada Orang Asli tersebut juga membawanya ke peranan pertamanya dalam penyelidikan biologi lapangan di bawah mentornya, mendiang Profesor J.L. Harrison (Ahli Zoologi Perubatan) dan mendiang Profesor J.R. Audy (Pakar Ekologi Perubatan), masing-masing merupakan pakar dalam hubungan perumah-parasit dalam kajian penyakit zoonosis.

Pada 1952, beliau dinaikkan pangkat kepada Pembantu Makmal tetap dan terlibat dalam beberapa ekspedisi saintifik.

Dari 1955 ke 1969, beliau menerbitkan lebih daripada 80 kertas saintifik mengenai haiwan vertebrata dan dipelawa untuk mengetuai Bahagian Ekologi Perubatan yang baharu diasaskan di IMR.

Dr Lim Boo Liat

Beliau menjadi seorang pakar yang dikenali oleh institusi tempatan dan asing dalam bidang kajian haiwan dan peranannya dalam penularan penyakit.

Lim mengasaskan konsep ‘pelabelan ekologi mengikut corak parasit’ yang mana parasit dan tabiat makanan mamalia kecil merupakan petunjuk yang baik tentang tabiat tingkah laku mereka dalam persekitaran semula jadi mereka.

Penemuan itu diterbitkan dalam Jurnal Zoologi Persatuan Zoologi London (Zoological Society of London’s Journal of Zoology) pada tahun 1967.

Melihat potensi dan kepakarannya dalam bidang tersebut, beberapa orang profesor dari universiti-universiti Eropah membuka jalan untuknya supaya beliau dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana, walaupun beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal.

Malah, Lim tidak pernah menerima Ijazah Sarjana Muda sebelum penajaannya ke Universiti Aberdeen di Scotland.

Beliau pulang ke Malaysia pada 1972 dan meneruskan penyeliaan Bahagian Ekologi Perubatan, kali ini sebagai seorang ahli zoologi yang sebenar.

Lim menerima PhDnya dalam Zoologi di Universiti Sains Malaysia pada 1977 dan telah bekerja dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Indonesia dan mengetuai Unit Penyelidikan Kawalan Biologi Vektor yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan mengenai subjek seperti wabak, kawalan malaria, dan kawalan tikus, sehingga persaraannya pada 1987.

Walaupun selepas bersara, beliau kekal aktif dalam industri ini, membantu dalam kajian penyelidikan untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di universiti tempatan dan terlibat dalam pemuliharaan sejarah semula jadi dengan kerjasama agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Lim merupakan sebuah inspirasi kepada industri tersebut. Digelar sebagai ‘bapa zoologi’, beliau dan rakan penyelidiknya telah menemui spesies baharu, ular dedaun Genting, Macrocalamus gentingensis, di Tanah Tinggi Genting Highlands, Pahang, yang tidak boleh ditemui di tempat lain.

Hari ini, karya beliau diiktiraf dan telah dipetik dalam banyak jurnal dan penerbitan di seluruh dunia. – MalaysiaGazette