Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera memandangkan kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, antara faktor berlakunya ketidakstabilan itu termasuk tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP.

Sambil mengkritik tindakan Muhyiddin, Zahidi berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan DAP kerana Bersatu pada masa ini bersama Barisan Nasional (BN), Pas dan beberapa parti lain berada dalam kerajaan yang memerintah sekarang.

Jelasnya, disebabkan tindakan sedemikian, keadaan menjadi tidak stabil selain faktor-faktor politik lain.

“Macam mana kerajaan hendak stabil jika ada pemimpin dari parti yang bersama-sama membentuk kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembangkang seperti DAP.

“Disebabkan ketidakstabilan ini, eloklah PRU-15 disegerakan. Namun, jika ditanya bila sepatutnya PRU-15 diadakan, saya berpendapat eloklah pada tahun ini juga,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Zahidi berkata, langkah mempercepatkan PRU-15 adalah semata-mata untuk menstabilkan kerajaan.

Beliau berkata, jika kerajaan stabil, semua urusan pasti berjalan lancar dan masalah negara dan rakyat dapat diselesaikan segera.

“Yakinlah, kerajaan yang stabil dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat,” katanya.

Zahidi juga menegaskan, tindakan mempercepatkan PRU-15 tidak ada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah yang dihadapi oleh pemimpin tertentu.

“Ini kerana UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan kes-kes mahkamah. Kes mahkamah diselesaikan melalui mahkamah. Dan jangan lupa, jika seseorang itu terbabit dalam kes mahkamah bukan bermakna dia sudah dihukum sebagai bersalah.

“Jangan kita hukum orang itu sudah bersalah. Biarlah mahkamah yang tentukan bersalah atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast