Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Besar Pahang,  Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa UMNO perlu terus memperkukuhkan jentera pada semua peringkat diterima baik Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP).

Menurut Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli, ia merupakan langkah yang baik dalam memastikan parti tunjang kaum Melayu itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“PRU15 bukanlah sebagai mana senario menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti di Melaka dan Johor yang yang mana Barisan Nasional (BN) menang cukup selesa di dua negeri itu.

“Persiapan menghadapi PRU15 perlu diperincikan untuk memastikan UMNO dan BN mendapat mandat rakyat termasuk terus kekal berkuasa di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Wan Rosdy mencadangkan agar BN membuat persediaan pelbagai pihak khususnya jentera parti amat penting dalam usaha melicinkan gerakan membantu UMNO/BN mencapai kejayaan kelak.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, BN Pahang bersama jentera Puteri UMNO negeri itu mengambil langkah awal dengan melancarkan jentera IT Puteri UMNO Pahang.

Dalam pada itu, PSAP percaya UMNO dan BN di Pahang di bawah kepimpinan Wan Rosdy mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan UMNO dan BN terus menjadi pilihan pengundi pada PRU15 akan datang.

“PSAP berpandangan, bagi menghadapi PRU15 yang pastinya cukup mencabar, UMNO dan BN Pahang perlu memastikan kriteria calon dipilih benar-benar layak dan boleh memberikan kemenangan kepada parti itu.

“UMNO dan BN perlu berubah dan tidak boleh kekal ditakuk lama. UMNO dan BN perlu berani menampilkan banyak wajah baru yang diyakini kewibawaan mereka dalam menggalas tugas sebagai pemimpin baru untuk rakyat Malaysia,” ujar Haslihelmy.

Haslihelmy berkata, formula wajah baharu juga penting bagi memimpin calon-calon muda dalam kalangan pemuda, puteri, wanita dan ahli UMNO.

Langkah itu katanya bagi mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN yang kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 lalu.

“Selain wajah baru, UMNO dan BN juga perlu memberi keutamaan kepada calon anak tempatan yang lebih mengetahui masalah di kawasan masing-masing.

“Sebenarnya ramai anak tempatan yang berkebolehan, mempunyai pendidikan tinggi yang boleh menggalas tanggungjawab tetapi terpaksa diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada calon dari luar ataupun terus mengekalkan calon veteran.

“PSAP yakin dan percaya Wan Rosdy akan memberikan keutamaan kepada perkara itu demi memastikan UMNO dan BN terus mengekalkan kuasa di negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette