Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kerajaan dituntut untuk menangguhkan apa-apa bentuk kenaikan tarif elektrik sekurang-kurangnya sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pulih kembali.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tarif elektrik dijangkakan naik mulai 1 Julai oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti mana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia yang sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117% sejak hujung tahun lalu.

Namun, kenaikan tarif elektrik disaat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna, katanya.

“TNB sebagai sebuah GLC gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 billion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahanapi dan kos operasi mereka.

“Buktinya, walaupun kos bahan api meningkat sebanyak 26% sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10% (RM742 juta) untuk tahun tersebut,” tambah beliau.

Menurut Salahuddin, pengumuman tambahan Bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM100 dan RM50 hari ini juga akan terbukti sia-sia dan gagal membantu rakyat marhaen sekiranya kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik sama ada untuk pengguna komersial apatah lagi untuk pengguna domestik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast