Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengguguran jawatan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ke atas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman adalah keputusan parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berpendirian, mana-mana ahli MKT yang dikenakan sebarang tindakan tatatertib sama ada dipecat atau digugurkan harus mematuhi ketetapan serta keputusan parti.

“Memang kuasa pelantikan mengikut Perlembagaan parti adalah kuasa Presiden UMNO dan saya berpendirian bahawa mana-mana anggota MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

“Keputusan ini bukan sahaja yang ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) atau Mesyuarat Agung Khas UMNO (AGM), apatah lagi jika kita menjadi sebahagian daripada anggota MKT.

“Suatu ketetapan (keputusan) harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi perlu melalui perbincangan atau mesyuarat, tetapi jika sesuatu keputusan itu telah dibuat maka keputusan itu adalah keputusan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Tajuddin yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia minggu lalu, digugurkan jawatan sebagai anggota MKT berkuatkuasa Selasa lalu.

Menurut surat bertarikh 21 Jun yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pelucutan jawatan itu berikutan komitmen Tajuddin sebagai duta.

Surat itu diterima pejabat Tajuddin beralamat di Tindakan Juara Sdn. Bhd, Phileo Damansara 1, Pusat Dagangan Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor pada 22 Jun lalu.

Mengulas lanjut mengenai pemecatan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi tidak setuju dengan tindakan itu, tetapi berlapang dada dan berfikiran terbuka mengenainya.

“Apabila sesuatu keputusan parti dilakukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan yang dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan parti,” katanya.

Ditanya, apa sebab pemecatan itu, beliau berkata, hanya Tajuddin yang tahu.

“Saya fikir hanyalah diri beliau sendiri (yang tahu kenapa), itulah yang sebaik-baiknya.

“Tidak adil kalau saya beritahu kenapa, tetapi tentunya beliau mengetahui apa yang beliau telah lakukan kepada parti,” katanya.

Ditanya adakah pemecatan itu berpunca daripada sikap Tajuddin yang melanggar peraturan parti?

“Itu sebabnya saya katakan kena tanya diri beliau sendiri, apa kenyataan yang telah beliau buat, apakah bahan ucapan beliau atau ceramah ataupun bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup, hanya beliau sendiri yang tahu.

“Soal rayuan pula, kalau berkaitan keahlian boleh dibuat, tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik, saya fikir tidak ada mana-mana elemen rayuan itu boleh dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette