KUANTAN – Dengan prinsip mengoptimumkan ruang parkir di kompleks beli belah Megamall kepada litar go-kart profesional dilihat mampu menarik pengunjung melakukan aktiviti rekreasi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pembinaan pusat go-kart yang diberi nama Speed Track itu merupakan litar profesional pertama di Pantai Timur.
Ia juga sebagai trend dan satu usaha kementeriannya untuk menggunakan ruang pusat beli belah atau bangunan dengan mengubahsuai kepada trek bagi aktiviti kesukanan dan rekreasi.
“Trend KBS membangunkan lokasi kompleks atau pasaraya bagi menghidupkan aktiviti kesukanan ke arah kehidupan yang sihat kepada semua peringkat umur.
“Boleh dijadikan contoh pusat beli belah Times Square di Kuala Lumpur yang membangunkan taman tema permainan, pusat rekreasi dan aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya.
Ti Lian Ker berkata demikian ketika ditemui media hari ini sejurus pelancaran pusat Go-Kart Speed Track di Aras 4 Megamall, Kuantan turut mencuba kereta go-cart di litar bersama lima pemandu lain.
Difahamkan pembinaan litar sepanjang 290 meter itu mengikut piawaian dan mematuhi standard menelan kos sebanyak RM800,000.
Pusat Go-Kart yang dibangunkan oleh empat anak muda itu beroperasi setiap hari pada pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada Isnin hingga Jumaat juga menyasarkan golongan belia dan semua peringkat usia.
Manakala waktu operasi pada Sabtu dan Ahad bermula pada 1 petang hingga 12 tengah malam ini menawarkan kadar kemasukan sebanyak RM65 dengan 15 pusingan.
Antara syarat lain, pengunjung perlu berketinggian sekurang-kurangnya 140 sentimeter dan berat maksimum 120 kilogram serta memakai kasut sukan.
Pengunjung tertakluk kepada syarat dan terma serta dilindungi insurans am dan boleh juga membuat tempahan secara atas talian. – MalaysiaGazette