Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Selepas digugurkan dari jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikatakan menerima tawaran daripada dua parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Tawaran itu datang daripada Pas yang mahu Ahli Parlimen Pasir Salak itu bertanding mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria mempelawa Tajuddin yang kini bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertanding mewakili Pas atas tiket PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) ini.

Menurut Razman, Pas Perak bersedia menawarkan Tajuddin bertanding mewakili parti itu jika Parlimen Pasir Salak menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama PN.

“Jika berlaku PRU-15 dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam Barisan Nasional (BN) maka Pas Perak bersedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili Pas.

“Tawaran ini sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama PN nanti,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tawaran Pas Perak itu sebagai pandangan parti dan tidak melibatkan rakan gabungannya, Bersatu.

Ujar beliau, PN tidak pernah berbincang untuk menawarkan Tajuddin menjadi calon gabungan itu kerana urusan calon dan kerusi adalah hak pucuk pimpinan untuk menentukan sebarang keputusan.

“Saya tak boleh komen perkara yang tidak melibatkan saya. Itu hak pucuk pimpinan, kami tidak berbincang mengenai tawaran kepada Tajuddin.

“Kita tidak terlibat dalam parti orang lain. Ia terpulang kepada Pas, itu hak mereka untuk bagi pandangan. Bagi Bersatu, kita tak bincang pun mengenai perkara itu,” kata Ahmad Faizal.

Tajuddin mula digugurkan dari MKT berkuatkuasa 21 Jun lalu menerusi surat yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tempat Tajuddin kini diganti bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat MKT malam tadi. – MalaysiaGazette