Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyegerakan konsultasi dengan parti-parti politik mengenai Akta Pendanaan Politik.

Usaha juga perlu dibuat supaya draf akta tersebut boleh dikongsi dengan semua pemegang taruh agar ia dapat dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, pendanaan politik tanpa peraturan dan kawalan boleh mewujudkan risiko tinggi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita semua maklum dakwaan dana politik dalam jumlah yang tidak masuk akal telah diagihkan oleh Najib Razak kepada ramai pemimpin UMNO seperti Ahmad Maslan, Shahrir Samad, dan lain-lain lagi.

“Kita juga membaca laporan mengenai bagaimana individu yang rapat dengan Najib Razak dikatakan disuruh menghantar wang dari sebuah syarikat kepada pemimpin DAP Lim Guan Eng. Jam tangan mewah pun dikatakan diberikan kepada Lim Guan Eng.

“Banyak lagi cerita-cerita mengenai penyaluran wang kepada orang politik yang berlaku secara tidak telus. Jika tiada undang-undang, maka masalah ini akan berterusan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Wan Saiful, beliau terlibat dengan pelbagai usaha untuk mewujudkan akta berkaitan pendanaan politik.

Katanya, beliau juga salah seorang ahli dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, yang ditugaskan mengkaji mekanisme menyelia pendanaan politik.

Tambah beliau, draf yang disediakan juga sudah cukup baik untuk dijadikan asas kepada langkah seterusnya.

“Saya juga merupakan ahli jawatankuasa Electoral Reform Committee di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018-2020. Laporan yang kami sediakan adalah terperinci dan mengandungi banyak idea yang boleh disalin sahaja untuk pelaksanaan.

“Saya pernah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah kumpulan rentas parti (All Party Parliamentary Group – APPG) mengenai pendanaan politik, kerana berdasarkan pengalaman saya dengan APPG di Parlimen Westminster, United Kingdom, saya tahu ia adalah cara pantas untuk mendapatkan “buy-in” parti-parti politik.

“Cadangan saya masa itu dipandang sepi kerana Malaysia belum biasa dengan konsep APPG.

“Walaupun agak sejuk pada mulanya, alhamdulillah kini sudah ada beberapa APPG dan salah satunya ialah mengenai pendanaan politik.

“Isu yang tinggal ialah, adakah kerajaan ada political will atau tidak untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan? ” katanya. – MalaysiaGazette