ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Seekor lembu yang tular di kawasan berhampiran Lebuhraya MRR2 arah Sungai Buloh disyaki lembu yang terlepas lari untuk disembelih bagi tujuan korban.

Malah, lembu itu juga dipercayai haiwan yang sama menanduk seorang lelaki warga emas di hadapan rumahnya di Bandar Manjalara, Kepong pada kejadian semalam, jam 11.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beng Eng Lai berkata, polis telah menerima satu laporan oleh Pengerusi Masjid Anas Bin Malik, Kampung Selayang Lama pada 24 Jun tentang lembu yang ditambat di kawasan masjid terlepas lari daripada ikatan sewaktu proses mencucuk hidung.

Dalam laporan itu, pengerusi masjid itu memaklumkan lembu tersebut telah disedekahkan oleh orang awam untuk tujuan korban.

Menurutnya, kelidan lori yang merakam video tular itu bukan pemilik lembu tersebut, sebaliknya dia hanya menolong untuk menangkap dan menambat lembu itu pada tiang elektrik di tepi Lebuhraya MRR2.

Namun, disebabkan lembu tersebut bertindak agresif, ia terlepas dari tambatan dan lari semula ke atas jalan menuju ke arah Sungai Buloh.

Pihak polis percaya bahawa lembu yang terlepas lari ini adalah merupakan lembu yang telah menyebabkan kecederaan kepada warga emas lelaki.

Eng Lai berkata, siasatan polis mendapati kejadian berlaku lebih kurang 10.15 pagi semasa mangsa yang 81 tahun sedang berdiri di hadapan pagar rumah bersiap untuk keluar.

Ketika itu mangsa telah melihat seekor lembu sedang berlari di taman berdekatan rumahnya, namun secara tiba-tiba lembu tersebut telah berlari ke arah mangsa dan bertindak menanduk perut mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

Akibat kejadian ini, mangsa telah mengalami retak tulang belakang dan sakit pada bahagian belakang bahu.

Kini mangsa sedang menerima rawatan dan ditahan di Hospital Desa Park City Medical Centre untuk pemerhatian lanjut.

Menurutnya, kes ini telah disiasat dibawah seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian melepaskan haiwan sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada nyawa orang awam. – MalaysiaGazette