KUALA LUMPUR – Dua pusat hiburan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras di Damansara Utama dan Bandar Utama antara tiga premis yang diserbu dalam Op Noda Khas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, premis pertama diserbu di Damansara Utama pada Sabtu lalu,  selepas pengurus premis gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras.

Susulan itu katanya, polis menahan pengurus premis berkenaan yang merupakan warganegara tempatan untuk membantu siasatan.

Menurut Mohamad Fakhrudin, polis turut merampas 14 botol minuman keras dan menahan pengurus premis untuk siasatan lanjut.

“Hasil serbuan tersebut, seramai lima orang pekerja tempatan dan 33 orang pelanggan telah diperiksa dan didapati tidak melakukan kesalahan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut mendapati menjual minuman keras dan pengurus premis iaitu lelaki tempatan telah mengemukakan lesen perniagaan sah tetapi gagal kemukakan lesen perniagaan minuman keras,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 76(1) Akta Eksais 1976.

Sementara itu, dua lagi pengurus premis ditahan dalam serbuan kedua dan ketiga di Bandar Utama pada Ahad yang lalu.

Beliau berkata, premis kedua juga didapati menjual minuman keras tanpa lesen.

“Oleh yang demikian, pihak polis merampas 24 minuman keras pelbagai jenama dan menahan pengurus premis dan lima pekerja warganegara asing tanpa permit pekerjaan yang sah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Fakhrudin berkata kes berkenaan pula disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksten 39B Akta Imigresen, Seksyen 76(1) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selango 1995.

Dalam pada itu katanya lagi, serbuan ketiga mendapati pusat hiburan di kawasan yang sama beroperasi melebihi waktu dibenarkan.

“Pengurus premis telah ditahan untuk siasatan lanjut manakala pekerja dan pelanggan dibebaskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995,” katanya lagi.- MalaysiaGazette