Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kini memanfaatkan 12.6 juta individu, bersamaan dengan 60 peratus rakyat dewasa di negara ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keseluruhan peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun ini juga meningkat kepada RM8 bilion selepas BKM Fasa 2 mendapat tunai tambahan sebanyak RM630 juta.

BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai hari ini. Semakan status pembayaran boleh dibuat melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Setakat ini, 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun 2022.

Menurutnya, BKM merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480).

Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.

Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.

Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.

Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40.

Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuk  sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini. – MalaysiaGazette