Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen di hari ini melahirkan rasa kecewa dan kurang senangnya dengan tindakan Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan kepada umum berhubung perbicaraan rasuah berkaitan projek mega terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang yang dihadapinya.

Hakim Azura Alwi dalam nada tegas memberi peringatan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan peguamnya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes tersebut ketika prosiding masih berjalan, atau berdepan dengan sub judice.

Azura kecewa kerana Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa pertuduhan kononnya beliau telah menerima rasuah bagi projek yang bernilai RM6.3 bilion itu.

“Saya kecewa mengapa perkara seperti ini masih berlaku (keluar kenyataan ketika perbicaraan). Anda semua sudah matang bukan kali pertama berdepan dengan prosiding mahkamah.

“Ini benar-benar menyakitkan hati saya kerana kes masih diteruskan, jangan ambil mudah perkara ini dan saya ini tidak berlaku lagi,” katanya sambil menjeling ke arah kandang tertuduh.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta Azura menegur serta memberi peringatan kepada tertuduh supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kesnya kepada umum.

Peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo kemudian memohon maaf sambil mengakui tindakan tersebut adalah salah.

Jumaat lepas, media melaporkan Guan Eng mendakwa kes yang dihadapinya adalah satu ‘khayalan’ selain menafikan perbuatan tersebut.

Khamis lalu, saksi ke-23, Pengarah Eksekutif Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendakwa Guan Eng yang merupakan bekas Menteri Kewangan kelihatan tersenyum ketika menerima wang rasuah sebanyak RM100,000 sebagai sebahagian daripada bayaran 10 peratus kepadanya.

Untuk makluman 10 peratus itu ialah bayaran keuntungan daripada projek mega itu kepada Guan Eng yang telah memberikan projek tersebut kepada syarikat milik Zarul sepada  2014.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad melaksanakan projek itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, bangunan Komtar.

Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Guan Eng turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette