Datuk Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan tindakan segelintir Menteri yang giat mempertahankan Perdana Menteri apabila beliau mengkritik secara terbuka.

Nur Jazlan melahirkan rasa hairan apabila keadaan itu tidak berlaku apabila Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi diserang tanpa menggunakan saluran betul sedangkan mereka sendiri datang daripada parti tersebut.

“Saya tegur PM secara terbuka, saya dituduh buat salah, saya dihukum berdosa, tapi masa kamu kritik Presiden UMNO, orang nombor satu dalam parti sendiri, kamu tak salah?

“Ooo ya, sebab orang yang saya tegur itu adalah orang yang berikan kamu jawatan, kedudukan, pangkat, gaji dan elaun, jadi saya yang bersalah.

“Tapi kamu lupa, semua benda kamu dapat itu kerana kamu ahli parti ada seorang presiden dipilih oleh ahli akar umbi. Adakah kamu lupa?” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggesa Ahmad Zahid berundur daripada jawatan presiden UMNO dan memberi tumpuan kepada kesnya di mahkamah.

Tajuddin berkata, mengikut amalan negara lain, seseorang pemimpin itu akan meletakkan jawatan serta-merta apabila dihadapkan ke mahkamah, apatah lagi melibatkan kes rasuah.

Selain itu, Nur Jazlan turut mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO yang mengingkari arahan presidennya malah membuat pelbagai tuduhan hingga memperlekehkan Ahmad Zahid.

“Bila kamu lebih banyak bercakap bagi pihak parti seteru UMNO pada PRU14 lalu, adakah kamu lebih mulia daripada saya yang setia bersama UMNO?

“Bila parti dan akar umbi buat keputusan putuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), kamu tak ikut kehendak parti, kamu tak salah ke?” soalnya.

Tambahnya, Menteri-Menteri UMNO perlu mencerminkan diri sendiri sebelum menghukum bekas Ahli Parlimen Pulai itu sebagai petualang.

“Selepas UMNO kalah pada PRU14 kamu terus lari masuk gua, adakah kamu membantu UMNO?

“Kamu hanya keluar dari gua bila dapat jawatan menteri atas kouta UMNO, apakah sumbangan kamu untuk bantu UMNO?

“Bila kamu duduk selesa di kerusi menteri, adakah kamu banyak membela UMNO atau kamu lebih menjaga periuk nasi sendiri?

“Cubalah kamu semua tepuk dada tanya iman. Siapakah petualang atau pejuang UMNO yang sejati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast