Potensi kawasan Felda bukan sahaja terhad kepada penanaman sawit tetapi potensinya

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mengekalkan pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan global.

Indeks Pelopor pada April 2022 mencatatkan 110.8 mata dengan pertumbuhan yang lebih baik kepada negatif 0.5 peratus tahun ke tahun berbanding negatif 1.4 peratus pada Mac 2022.

Seiring dengan itu, S&P Global Rating baru-baru ini telah menyemak semula prospek penarafan Malaysia daripada negatif kepada stabil berdasarkan keyakinan bahawa negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh berbanding negara dalam kumpulan pendapatan setara.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan memacu kepada pemulihan perniagaan dan kerancakan semula sektor pelancongan domestik yang memanfaatkan situasi buruh di Malaysia.

Bilangan penduduk bekerja meningkat 3.3 peratus (+501.5 ribu) kepada 15.85 juta orang (April 2021: 15.35 juta orang).

Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 1.3 mata peratus tahun ke tahun kepada 66.7 peratus.

Kadar pengangguran juga menurun 0.7 mata peratus tahun ke tahun kepada 3.9 peratus.

“Lebih daripada dua tahun selepas krisis kesihatan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah mengubah landskap sosioekonomi dunia secara ketara, negara seterusnya melaksanakan proses pemulihan melalui strategi peralihan keluar yang lebih meluas bagi meningkatkan kemajuan ekonomi dan kesihatan awam.

”Walaupun orang awam mula menyesuaikan diri dengan kehidupan fasa endemik, ancaman baharu pula muncul dalam bentuk gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik yang berterusan antara Russia dan Ukraine; keadaan cuaca yang tidak menentu; dan permintaan yang meningkat berikutan pelonggaran sekatan berkaitan kesihatan di kebanyakan negara,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi makroekonomi Malaysia pada April 2022, beliau berkata, Malaysia dilimpahi dengan sumber asli dan komoditi seperti produk petroleum dan minyak sawit.

Sebagai pengeksport komoditi bersih, negara ini turut mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi yang menyebabkan jumlah perdagangan Malaysia kekal kepada pertumbuhan tahunan dua digit sebanyak 21.3 peratus kepada
RM231.4 bilion.

Eksport meningkat 20.7 peratus kepada RM127.5 bilion manakala import tumbuh 22.0 peratus kepada RM103.9 bilion.

Ini menjadikan imbangan dagangan meningkat 15.7 peratus dan masih kekal dalam lebihan pada RM23.5 bilion.

”Prestasi perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan pada Mei 2022, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021 dengan jumlah dagangan melepasi RM1 trilion,” katanya. – MalaysiaGazette