Tangkap layar kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang dikesan memotong di garisan berkembar dan hampir berlanggar dengan kenderaan lain di Janda Baik, Bentong, Pahang.

KUANTAN – Pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang hampir bertembung dengan kenderaan lain ketika memotong di garisan berkembar seperti yang tular di laman media sosial baru-baru ini akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku di Jalan Janda Baik, Bentong.

Menurutnya, sebuah video rakaman kamera papan pemuka (dashboard) memaparkan kenderaan pacuan empat roda itu hampir berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan tular di media sosial 28 Jun lalu.

“Justeru, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bentong telah menjalankan siasatan awal dan mengesan pemilik kenderaan 4X4,”katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Jelas Zaiham, jika didapati bersalah, pemandu kenderaan terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 kerana melakukan kesalahan memotong di kawasan garisan berkembar di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59.

“Pemandu pacuan empat roda itu juga boleh dipenjara maksimum enam bulan jika sabit bersalah,” tambahnya.

Sementara itu, beliau memohon kerjasama mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar tidak mementingkan diri dan sentiasa berhemah ketika memandu. – MalaysiaGazette