Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memukul serta mencederakan adik perempuan dan neneknya kerana berang mereka menjeling ke arahnya semasa pulang ke rumah di Kampung Tasik Tambahan di Ampang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam Selasa lalu, pengadu seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun ketika berada di rumah abangnya pulang ke rumah dalam keadaan marah.

“Kemudian, suspek bertindak membaling dua buah baldi sebelum ia terkena pada bahagian belakang badan pengadu.

“Suspek juga telah menampar dan menjirus air teh suam pada seluruh badan nenek pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat abang kandungnya, pengadu telah mengalami kecederaan di tisu bahu manakala neneknya, 64, cederaan di bahagian pipi dan kedua-dua mangsa mendapat rawatan di Hospital Ampang.

“Bertindak atas aduan mangsa perempuan itu, pada Rabu jam lebih kurang 8.26 malam sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek berumur 25 tahun yang disyaki bertanggungjawab melakukan jenayah ke atas kedua-dua mangsa itu.

“Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berjaya direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 3 Julai ini untuk membantu siasatan polis.

“Siasatan lanjut polis mendapati punca kejadian adalah suspek naik angin disebabkan adik perempuannya (pengadu) menjeling ke arah suspek semasa pulang ke rumah.

“Malah, Motif kejadian juga berpunca daripada sifat panas baran suspek yang akan mengamuk bila tidak mendapat wang yang diminta.. suspek juga masih mempunyai kedua ibu bapa namun telah lama bercerai dan suspek juga tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya.

“Polis juga merampas dua buah baldi yang dipercayai digunakan suspek untuk mencederakan kedua-dua mangsa semasa kejadian itu,” kata beliau.

Menurut Mohamad Farouk, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua- duanya sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette