Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Seorang presiden parti tempatan di Sabah ditahan kerana terlibat sindiket kad pengenalan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, suspek itu dikenali sebagai Mohd Arshad Abdul Mualap yang mengetuai Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)

Dia didakwa menjadi dalang sindiket terbabit.

Suspek kini ditahan bersama seorang lagi lelaki di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi, Mohamad Amkah Ahmad turut disiasat polis.

”Kedua-dua mereka telah ditangkap pada 22 Jun lalu di Selangor dan dituduh di Mahkamah Shah Alam pagi tadi,” ” katanya pada sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Menurut Hamzah, sindiket berkenaan mendakwa kad pengenalan palsu itu mampu memberikan kelebihan kepada pemegangnya.

“Kumpulan itu kononnya boleh berikan kad pengenalan seolah-olah boleh digunakan di negara kita.

“Mereka akui sesiapa sahaja yang pegang kad ini boleh mendapatkan segala kelebihan.

“Paling penting kata-kata yang dikeluarkan sindiket ini kad pengenalan boleh diberikan kepada orang yang memilikinya,”  katanya lagi.

Tambah Hamzah, setiap kad pengenalan palsu itu dijual kepada individu bukan warganegara pada harga RM500 hingga RM1,000 sekeping.

Setakat hari ini, sejumlah 400 kad pengenalan palsu telah diberikan kepada warganegara asing berdasarkan kepada borang permohonan yang dirampas polis. –  MalaysiaGazette