Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari ketika melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena PHMATA di sebuah pasar raya di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan kompaun berjumlah RM11,700 bagi 90 kesalahan yang dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (PHMATA) sehingga 30 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Muhamad Radzi Johari berkata, kompaun tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 26,460 premis pelbagai peringkat perniagaan yang melibatkan kesalahan penjualan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, tiada tanda harga dan tidak mempamer tanda harga khas merah jambu.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 90 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM6,975.98,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan PHMATA di sebuah pasar raya di Indera Mahkota, dekat sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari (kiri) bercakap kepada kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena PHMATA di sebuah pasar raya di Indera Mahkota, di sini petang ini.

Dalam pada itu, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan KPDNHEP di seluruh negeri pada hari ini mendapati penujualan ayam dan telur ayam mengikut harga siling  yang ditetapkan.

Menurut Muhamad Radzi, malah terdapat peniaga yang menjual ayam pada harga yang lebih rendah daripada harga siling.

“Tiada Notis Bertulis juga dikeluarkan kepada mana-mana peniaga yang menjual Minyak Masak Sawit Tulen Botol kerana kebanyakan peniaga masih menjual dengan harga lama,”jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya telah menggerakkan 127 orang pegawai dan anggota penguatkuasa serta 97 orang Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan di peringkat pemborong dan peruncit pada hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil sejajar dengan penguatkuasaan Ops Anti Sorok (OAS) yang sedang dilaksanakan KPDNHEP Pahang untuk memastikan tiada aktiviti menyeleweng dan menyorok minyak masak dengan tujuan mengambil keuntungan berlebihan susulan pengumuman pengapungan harga.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena PHMATA di sebuah pasar raya di Indera Mahkota, di sini petang ini.

Muhamad Radzi memberitahu, stok minyak masak di pasaran adalah mencukupi untuk menampung keperluan pengguna di Pahang.

“Berdasarkan pemeriksaan ke atas keberadaan stok minyak masak di pasaran pula mendapati bekalan Minyak Masak Sawit Tulen Botol adalah sebanyak 278,616 kilogram (kg) dan bekalan Minyak Masak Paket (1 kg) sebanyak 123,753 kg,” jelasnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa KPDNHEP Pahang tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Jika sabit kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atau Akta Kawalan Bekalan 1961, peniaga boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast