Syamsul memantau bilik sebuah rumah setinggan terdapat seorang bayi dan kanak-kanak disyaki warga asing ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa mereka yang dipercayai meloloskan diri daripada dicekup Imigresen semasa serbuan awal pagi tadi di Kampung Masjid Segambut awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Terkejut mendengar ketukan kuat penguat kuasa, ada warga asing melarikan diri dan meninggalkan anak mereka di dalam bilik serbuan.

Itu tindakan nekad pasangan suami isteri warga asing ketika di kawasan penempatan setinggan di Kampung Masjid Segambut, Jalan Kuching awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula pukul 1.05 pagi itu, seramai 48 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menggempur perumahan setinggan yang dihuni warga asing.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di Segambut, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

Ketika anggota penguat kuasa memeriksa sebuah rumah di tingkat bawah, mereka mendapati seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh atau lapan tahun serta seorang bayi berusia kira-kira setahun ditinggalkan bersendirian.

Pemeriksaan mendapati ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu gagal ditemui dan jiran-jirannya juga tidak tahu menahu mengenai ‘kehilangan’ mereka.

 

Anggota Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memeriksa pasport milik warga asing yang ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di Segambut, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

Para anggota telah mencari ibu bapa atau penjaga kanak-kanak serta bayi itu di sekitar kawasan berkenaan namun mereka gagal dikesan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi serbuan itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam operasi awal pagi tadi, seramai 92 warga asing telah ditahan dan diperiksa.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohsin

“Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 76 warga asing dari Indonesia dan Bangladesh terdiri daripada 46 lelaki dan 23 wanita, enam kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Semasa tangkapan itu, kita juga menemui seorang bayi berusia dua bulan dan kesemua tangkapan berusia dua bulan hingga 57 tahun dan ditahan atas pelbagai kesalahan terutamanya pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan diri atau pasport yang sah,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan tersebut awal pagi tadi.

Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di Segambut, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

Semasa serbuan, katanya, ada juga beberapa warga Bangladesh memegang kaki penguat kuasa sambil merayu agar dilepaskan.

Ada seorang wanita warga Indonesia pula merayu agar suaminya tidak digari selepas ditahan kerana cuba meloloskan diri diĀ  laluan sempit kawasan setinggan itu.

Bagaimanapun, lelaki tidak berdokumen itu berjaya diberkas semula dan tangannya tetap digari supaya tidak dapat meloloskan diri semula.

Tambah Syamsul, semakan lanjut mendapati kesemua warga asing di kawasan itu menyewa rumah atau bilk di kawasan setinggan berkenaan daripada penduduk tempatan.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya dicekup anggota Jabatan Imigresen ketika cuba melarikan diri dalam satu operasi penguatkuasaan di Segambut, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

“Berdasarkan maklumat hasil soal siasat ke atas mereka, rumah di kawasan setinggan ini disewa warga asing pada kadar antara RM600 hingga RM800 sebulan manakala kadar sewa sebuah bilik adalah pada sekitar RM300 sebulan daripada warga tempatan.

“Kebanyakan warga asing yang menetap di sini bekerja di tapak pembinaan dan juga sebagai tukang cuci (wanita),” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai kanak-kanak dan bayi yang ditinggalkan bersendirian, beliau menegaskan, pihaknya sedang mengenal pasti sama ada mereka ditinggalkan oleh ibu bapa atau penjaga.

Beliau percaya, ibu bapa atau penjaga mereka telah melarikan diri dengan meninggalkan mereka bersendirian di rumah kerana mengelak dicekup penguat kuasa.

“Bagaimanapun, pegawai kami akan datang balik semula ke rumah ini dalam dua tiga hari ini untuk mengawasi dan mengesan serta mendapatkan semula ibu bapa kanak-kanak dan bayi yang meloloskan diri itu,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di Segambut, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2022.

“Untuk makluman, serbuan yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada operasi besar-besaran yang diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan Program Rekalibrasi Pulang terhadap warga asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah tamat secara rasmi semalam.

“Maka bermula hari ini, kita akan mengadakan operasi berterusan semasa ke semasa bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih tidak mengambil peluang pulang ke negara asal.

“Malah, dalam operasi malam ini, kita bukan hanya memberikan fokus kepada kawasan kediaman setinggan sahaja sebaliknya turut memberi tumpuan terhadap semua premis membabitkan warga asing bagi memastikan tindakan tanpa kompromi diambil terhadap mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette