Muhyiddin Yassin

TANAH MERAH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata, pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri beberapa hari yang lepas, di mana saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

“Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang telah mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lepas untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera PN Peringkat Kelantan di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi PN Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, Bersatu dan Pas setakat ini telah membuat keputusan akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Perkara ini turut dipersetujui oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ia boleh disahkan oleh kepimpinan Pas. Sebagai contoh di Johor, parti yang bertanding bukan Bersatu sahaja sebaliknya Pas juga.

“Itu keputusan saya terima dan saya fikir keputusan itu masih kekal sehingga kini. Bagaimanapun, dari segi agihan kerusi ia belum diputuskan lagi,” katanya.

Beliau turut mengakui ada beberapa parti yang cuba ‘mengetuk pintu’ untuk menyertai PN, namun pihaknya berhati-hati untuk menerima. – Bernama

1 Komen

  1. Bubar je lah parlimen…Mudin gila kuasa..rakyat tengah susah dia sibuk dgn jawatan..masa kau jd PM pun tak ada jawatan Timbalan PM musibat!

Comments are closed.