ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Seramai 19 suspek rusuhan bersenjata di Ara Damansara pada Jumaat lalu diberkas polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita warga tempatan.

Katanya, turut dirampas kayu besbol yang disyaki digunakan salah seorang suspek untuk mencederakan seorang mangsa.

Jelas beliau, rusuhan berkenaan berpunca daripada perebutan teman wanita.

“Suspek adalah 15 lelaki tempatan 15 hingga 27 tahun dan empat wanita tempatan berumur 15 hingga 20 tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau mengesahkan rusuhan bersenjata berkenaan dipercayai melibatkan 20 orang bersenjata kayu berlaku pada jam 9 pagi.

Mengulas lanjut Mohamad Fakhrudin berkata, hasil siasatan mendapati dua daripada 19 suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman empat hari. – MalaysiaGazette