Emilia Hanafi (berbaju putih) menjalani hukuman penjara selama tujuh hari di Penjara Wanita Kajang.- Gambar Astro AWANI

SAYA, Fara Othman, Pengasas Into Taqwa Malaysia dan I Taqwa Medical Healthcare ingin menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mengenai ketelusan pihak Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes-kes penceraian khususnya yang berkaitan dengan nafkah.

Keputusan berat sebelah Mahkamah Syariah terhadap Emilia Hanafi sehinggakan beliau dihukum penjara selama tujuh hari menjadi pembakar semangat untuk saya agar lantang menyuarakan bantahan.

Saya bukan orang yang berpengaruh atau berpangkat besar, namun atas dasar keperihatinan sebagai wanita dan ibu, saya amat terkesan dengan situasi Emilia serta wanita-wanita lain yang senasib dengannya.

Saya tidak akan bersama dengan mereka yang memilih untuk membutakan mata, memekakkan telinga dan terus membisu.

Sudah sampai masanya kita semua bergabung dan bersatu membuat bantahan agar nasib wanita-wanita seperti Emilia akan terbela!

Isu penjara tujuh hari yang terpaksa dilalui oleh Emilia bukan sahaja menjejaskan emosi yang empunya badan tetapi ianya turut menimbulkan banyak persoalan baru mengenai hak wanita-wanita Islam di Malaysia khususnya ibu-ibu tunggal.

Bagaimanakah golongan yang tertindas ini boleh mendapatkan keadilan jikalau pihak berwajib gagal melaksanakan tugas mereka dengan telus?

Di sinilah saya ingin memberikan penekanan bagaimana agensi undang-undang kerajaan ini gagal memberikan keadilan serta perlindungan yang sewajarnya.

Seperti yang semua sedia maklum, masih terlalu banyak kes-kes tertangguh di Mahkamah Syariah yang sehingga kini masih gagal diselesaikan.

Contoh paling utama adalah kes-kes berkaitan dengan tuntutan nafkah.

Walaupun secara terang-terangan bekas suami culas memberi nafkah dan meskipun dilampirkan dengan banyak bukti-bukti kukuh, kes ada kalanya berjalan sehingga memakan masa bertahun lamanya.

Situasi ini amat menyusahkan apabila ibu-ibu tunggal terpaksa berhadapan dengan kos guaman selain ganguan emosi dan tekanan perasaan apabila terpaksa berhadapan dengan undang-undang mahkamah. Secara tidak langsung, kebajikan anak-anak turut terjejas lantas mencipta kesan jangka panjang.

Terkini, Emilia Hanafi telah dihukum penjara selama tujuh hari hanya disebabkan oleh pertukaran tarikh lawatan.

Saya memohon bahagian kehakiman untuk memberi penjelasan jelas pada rakyat Malaysia, khususnya kaum wanita tentang akta yang tidak diketahui asal usulnya.

Sejak bilakah akta itu wujud dan apakah yang boleh menyebabkan akta tersebut digunapakai? Apakah benar dengan hanya pertukaran tarikh lawatan, seseorang ibu tunggal itu boleh dipenjarakan?

Sebagai seorang wanita dan ibu yang juga mempunyai anak perempuan, saya percaya ramai wanita lain di luar sana yang sudah tidak lagi berasa selamat dengan sistem perundangan shariah negara kita.

Adakah kerana hanya di sebabkan ‘kabel’ atau kroni besar, sesiapa pun boleh menyalahgunakan kuasa undang undang di Malaysia?

Sama juga perihalnya dengan kes jenayah yang melibatkan ahli-ahli politik berprofil tinggi, yang jelas merugikan dan memalukan negara. Rakyat Malaysia jelas kehairanan apabila mereka bebas berkeliaran ke sana-sini tanpa sebarang hukuman akibat daripada proses mahkamah yang sengaja dilengah-lengahkan.

Bukan niat untuk membuka aib sesiapa namun ketidakadilan Mahkamah Shariah dalam mengendalikan kes Emilia perlu disuarakan secara terbuka.

Setiap manusia melakukan kesilapan. Tetapi keputusan mahkamah untuk memenjarakan Emilia seolah-olah tamparan hebat kepada hak wanita Islam di Malaysia.

Benarkah Mahkamah Syariah mampu bersikap adil kepada wanita?

Saya berharap, pihak-pihak NGO lain juga bersama-sama dengan saya untuk bersuara dan membantah sekeras-kerasnya tentang isu ini.

Dengan adanya suara kolektif, saya berharap wanita-wanita khususnya ibu tunggal tidak lagi teraniaya dengan sistem kehakiman yang sekiranya disangka baik memiliki banyak kelemahan dari segi pentadbiran.

Ingatlah… kepada setiap kalian yang memegang kuasa, pengaruh dan berjawatan tinggi. anda akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak mengenai amanah yang dipikul dan berapa ramai insan lemah yang telah teraniaya akibat daripada keadilan yang boleh dijual beli.

Kepada pihak bekas suami, meski status dan harta mampu membeli keadilan; berbaloikah kehidupan wanita yang melahirkan zuriat anda dihancurkan tanpa belas kasihan? Apa jawapan anda apabila disoal di alam abadi kelak? Tidakkah anda gerun dengan azab Allah SWT?

Kerana mati itu pasti, bersedialah untuk berhadapan denganNya di Mahkamah yang paling Agung nanti.

Saya mendoakan agar Nizam Bashir selaku peguam bela Emilia Hanafi (dan penasihat guaman Into Taqwa Malaysia) agar dipermudahkan segala urusan demi menegakkan keadilan.

Pokok pangkalnya, hasil pengadilan kepada kes Emilia ini akan mencipta implikasi kepada hak kemanusian wanita-wanita Islam di Malaysia.

Adakah Mahkamah Syariah memiliki kredibiliti? Adakah Mahkamah Syariah berlaku adil kepada wanita?

Jika Mahkamah Syariah terbukti sebuah sistem yang gagal, apa lagi pilihan badan kehakiman yang mampu melindungi wanita teraniaya?

Kita tunggu dan lihat pada keputusan akhir kes Emilia Hanafi nanti.

Sebagai renungan bersama, saya akhiri surat terbuka ini dengan sabda Rasulullah SAW di dalam khutbah terakhirnya mengenai wanita dan hak mereka di sisi Islam.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang.

“Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.”
– HR Muslim, no. 2137

Saya berharap bantahan saya dapat didengari dan ramai yang akan bangkit bersama saya untuk bersuara.

Semoga Allah SWT memberkati usaha kita semua. – MalaysiaGazette

Pengasas Into Tawqa Malaysia dan dan I Taqwa Medical Healthcare, Fara Othman.

Fara Othman
Pengasas Into Taqwa Malaysia dan I Taqwa Medical Healthcare

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast