Nissan Skyliner R32 menyerupai kenderaan rasmi PDRM yang diletakkan di Autoshow Maeps Serdang oleh seorang peniaga aksesori kereta berjaya dicekup dan dirampas polis semalam.-Gambar ihsan Polis Sepang

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mencekup seorang lelaki yang disyaki memiliki sebuah kenderaan yang mempunyai corakĀ  menyerupai kereta rasmi kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff mengesahkan satu siasatan telah dijalankan berkaitan insiden itu selepas mengesan kereta berkenaan.

Katanya, kenderaan itu dimiliki oleh lelaki itu dan diletakkan di pameran kereta Autoshow Art Speed Malaysia yang diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) Serdang bermula semalam hingga hari ini.

“Kami menerima maklumat kenderaan milik lelaki itu yang diletakkan dalam pameran autoshow itu menyerupai kenderaan MPV rasmi PDRM.

“Bertindak atas maklumat mengenai kenderaan yang tular di media sosial pada Sabtu sekitar pukul 10.30 malam, sepasukan bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah membuat pemerhatian dan menangkap suspek tempatan yang merupakan pemilik kepada kereta Skyline R32 itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nissan Skyline R32 milik seorang peniaga aksesori kereta yang dipamerkan dalam autoshow Maeps Serdang semalam dirampas polis Sepang selepas viral di media sosial.-Ihsan foto: IPD Sepang

Malah, katanya, pasukan polis berkenaan turut berjaya menemui dan merampas kenderaan jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis di pameran itu.

Katanya, turut dirampas kunci kereta berkenaan, sekeping slip penyertaan pameran itu daripada suspek.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mendapati kereta berkenaan ada cukai jalan dan digunakan oleh suspek itu selama ini.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada PDRM untuk melaksanakan tugas.

“Siasatan masih diteruskan oleh polis ke atas suspek yang bekerja sebagai peniaga aksesori kereta.

“Suspek sudah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis sementera kertas siasatan akan dilengkapkan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya (TPR) untuk tindakan lanjut dalam kes ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette