Selangor Youth Community (SAY) memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama Halal Street UK di pejabat Malaysia High Commission di London, United Kingdom baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Selangor Youth Community (SAY) memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bersama Halal Street UK di pejabat Malaysia High Commission di London, United Kingdom baru-baru ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan berkenan menyaksikan majlis tersebut.

Baginda merupakan pengasas dan penaung diRaja Selangor Youth Community (SAY).

Perjanjian MoU di antara Selangor Youth Community (SAY) dan Halal Street UK bertujuan untuk memberi peluang terutamanya kepada usahawan belia yang mempunyai produk yang baik dan berpotensi untuk dipasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom.

Pasaran dibuat menerusi sebuah platform e-dagang iaitu Halal Street UK.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif bersama Pegawai Kanan Selangor Youth Community (SAY), iaitu Nurul Azwa Mohd Rodzi dan Abdullah Muaz Mohd Norman, manakala dari pihak Halal Street UK diwakili oleh Simon K. Suresh dan Hairul Hafizi Abdul Hamid.

Keduanya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar di Halal Street UK.

“Platform ini ditubuhkan bukan sahaja bertujuan untuk menawarkan solusi produk Halal kepada masyarakat Muslim di United Kingdom seramai 4.1 juta orang, malahan juga untuk memperkenalkan makanan dan budaya masyarakat Malaysia ke negara Eropah yang terkenal di seluruh pelosok dunia.

“Halal Street UK merupakan sebuah platform e-dagang bagi syarikat-syarikat lokal di Malaysia untuk memasarkan produk-produk di pasaran United Kingdom.

“Platform ini menyasarkan jualan secara perniagaan kepada pelanggan (B2C) iaitu melalui platform e-dagang manakala jualan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui penyertaan syarikat tersebut ke serata pameran makanan dan sebagainya yang terdapat di UK pada setiap tahun,” kata satu kenyataan baru-baru ini.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 900 vendor syarikat telah berjaya didaftarkan ke platform e dagang tersebut dengan bantuan dan sokongan daripada geran Malaysia External Trade Development Corporation dan Malaysia Digital Economy Corporation.

Syarikat yang berminat untuk mendaftar dengan melayari laman sesawang https://www.halalstreet.co.uk.- MalaysiaGazette