KUALA LUMPUR – Cukuplah dengan jumlah anggota Kabinet yang ada sekarang, tidak perlu ditambah lagi walau jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan Pesiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan mengenai lantikan jawatan nombor dua kerajaan itu adalah tidak wajar dalam keadaan sekarang.
Menurutnya, rakyat ketika ini sedang susah dan gelisah berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi akibat daripada kenaikan harga barang.
Bukan itu sahaja, katanya, kewangan kerajaan juga semakin menipis sehingga terpaksa mengkaji semula pelbagai subsidi untuk rakyat.
“Tuntutan sedemikian tidak harus timbul dan ini bukan masanya untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri ataupun menambah lagi Menteri baharu.
“Cukuplah dengan jumlah yang ada sekarang dengan rekod jumlah Menteri terbesar dalam sejarah Malaysia.
“Ini tidak termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf Menteri termasuk duta-duta Khas yang dilantik bagi memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Di Tanah Merah, Kelantan semalam, Muhyiddin menjelaskan kepada media, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Muhyiddin dilaporkan berkata, pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.
Menurut Dr. Asyraf, selain tidak menimbulkan isu penambahan jawatan, sewajarnya dalam menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Duta-Duta Khas Bertaraf Menteri wajar dipotong. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: