KUALA LUMPUR – Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini sempena Hari Raya Aidiladha.

Pengurs Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian hujung minggu bagi Lebuhraya KLK adalah sebanyak 161,000 kenderaan manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan.

Berikutan itu antara langkah yang diambil oleh Anih Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini ialah penambahan petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

Selain itu ia membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua Hentian Sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RnR), katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Aidiladha ini adalah kali ketiga rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik.

“Demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anih Berhad juga mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah serta memastikan keadaan kenderaan optimum.

“Pengguna juga dinasihat memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” katanya. – MalaysiaGazette