Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa tidak ada imbuhan yang diberikan bagi jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Lantaran itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan apa yang hendak dipotong pada Pengerusi MPN yang dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wan Saiful buat kenyataan itu bagi menjawab kritikan Datuk Asyraf Wajdi Dasuki yang menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) kerana sanggup menuntut jawatan Kabinet tambahan, ketika rakyat gelisah berdepan kenaikan harga barang selain kewangan kerajaan berdepan tekanan untuk memberi subsidi kepada rakyat.

Asyraf menegaskan, tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau menambah lagi menteri baharu tidak sepatutnya timbul dalam tempoh sukar ketika ini.

Sebaliknya, beliau berpandangan anggota Kabinet sepatutnya bersolidariti dengan rakyat yang sedang kesempitan, dengan memotong elaun menteri, timbalan menteri, pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan duta khas bertaraf menteri.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu, Wan Jan berkata, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, Asyraf wajar lebih berhati-hati supaya jangan terikut-ikut kegilaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memburukkan imej Muhyiddin.

”Jangan taat membuta sehingga akhlak pun hampir sama. Selepas ini jangan pula tercari-cari alasan dan excuse nak menegak benang yang basah. Kalau dah jelas salah memfitnah, mohon maaf saja. Tak perlu rekacipta cerita lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Hahhaa..ada hati cakap hal agama? Kamu tu paking munafik! penulis manifesto pembohong besar!

Comments are closed.