logo mahlamah

KLANG – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana disyaki menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan 4 di Kampung Idaman, Pandamaran, di sini, 26 Jun lalu.

Tertuduh, Lee Wei Chen, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.

Mengikut pertuduhan, Wei Chen, 24, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, di No.32, Jalan Idaman 13, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, di dalam daerah Klang, kira-kira jam 3.40 pagi, 26 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi.

Tertuduh yang mengenakan t-shirt berwarna hitam dan seluar trek pendek berwarna kelabu serta berselipar tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 September ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat, toksikologi dan forensik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh adalah bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan ditemui maut selepas ditekup menggunakan bantal dipercayai dilakukan kekasihnya dalam satu kejadian di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, 26 Jun lalu.

Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang berusia 16 tahun dibawa kekasihnya yang seorang penganggur menaiki Perodua Myvi ke rumahnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kejadian itu diketahui apabila suspek mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa dari biliknya ke halaman rumah.

Jelasnya, ahli keluarga suspek yang terkejut terus menghubungi polis sebelum seorang pegawai perubatan tiba ke lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa.

Siasatan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapanya bercerai dan mangsa dikatakan sudah setahun menjalin hubungan dengan suspek.

Berdasarkan siasatan awal, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di bilik tidur tersebut.

Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher mangsa.

Bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup.

Terdahulu, suspek direman sehingga 3 Julai lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek juga tidak mempunyai rekod lama. – MalaysiaGazette