Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman bersama pelakon Mat Kilau, Fatah Amin dan isteri Fauzura

KUALA LUMPUR – Perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu ketika ini begitu ketara sehingga boleh mengancam perpaduan dan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik negara.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan dan menggesa agar perbalahan antara orang Melayu dihentikan segera.

Titah baginda, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum,” titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sultan Sharafuddin, filem Mat Kilau yang sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara mempunyai mesej yang boleh dijadikan iktibar oleh orang dan pemimpin Melayu.

Justeru baginda menggalakkan orang Melayu untuk menonton filem tersebut bagi memahami bagaimana sesebuah negara boleh runtuh sekiranya masyarakat saling berbalah.

“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan di kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.

“Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam.

“Beta menggalakan masyarakat negara ini terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ianya boleh dijadikan sebagai satu tauladan dan pengajaran kepada kita semua bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama di dalam mempertahankannya,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyentuh mengenai gejala fitnah yang berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Baginda menegaskan, penyebaran berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihan serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat kita.

“Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah S.W.T.

“Agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103,” titah baginda.