Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah diingatkan agar mengurangkan karenah birokrasi dan mempercepatkan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir yang terjejas di Baling, Kedah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada alasan untuk melambatkan bantuan sewajarnya meskipun mangsa banjir telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Segala bantuan lain yang diperlukan para mangsa mestilah diberikan secepat mungkin.

“Bantuan pasca banjir juga perlu diberikan secepat mungkin kepada mereka yang terkesan.

“Elakkan permasalahan yang merumitkan, melambatkan dan menyusahkan bantuan dihulurkan kepada para mangsa,” katanya dalam hantaran terbaru di saluran Telegram rasminya, hari ini.

Semalam media melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil empat bulan dipercayai hilang selepas rumah didiami mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling, Kedah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mendoakan agar rakyat Baling khususnya penduduk Kampung Iboi terselamat daripada insiden tidak diingini dalam kejadian banjir tersebut.

“Saya mendoakan semua yang sedang terjejas akibat banjir di Baling berada dalam keadaan selamat.

“Saya turut mendoakan banjir yang berlaku cepat surut agar mangsa dapat kembali ke kediaman masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast