Mohd Shafiq Abdullah

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian dan kajian sahaja.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang mengambil maklum pandangan Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata, JPA sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan ini.

”Walaupun beberapa buah negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, namun JPA berpandangan bahawa pendekatan ini
hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

”JPA juga amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika Kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Mohd Shafiq menambah, JPA juga sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat.

Semalam, CUEPACS berkata, cadangan untuk melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu masih tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia termasuklah cadangan untuk melaksanakan kajian tersebut.

Presidennya, Datuk Adnan Mat menambah, kerajaan hanya merugikan sumber serta membuang masa sahaja sekiranya berhasrat untuk membuat kajian kebolehlaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu di Malaysia. – MalaysiaGazette

Kerajaan jangan bazir masa kaji kerja empat hari seminggu