Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mengambil tindakan terhadap ahli yang terus mempersoalkan keputusan rasmi pemilihan parti.

Katanya, tindakan perlu diambil terhadap ahli yang terbukti mahu melakukan sabotaj terhadap parti.

“Sebagai timbalan presiden, saya akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru PKR mengambil tempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rafizi mendakwa desakan supaya audit forensik dilakukan terhadap keputusan pemilihan PKR baru-baru ini bagi memastikan dirinya tewas jawatan timbalan presiden.

Beliau mendakwa, desakan yang dibuat oleh mereka yang rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kumpulan itu yakin audit forensik boleh mengubah keputusan tidak rasmi.

“Sejak dari awal lagi, saya telah membuat pendirian kepada Dr Zaliha Mustafa (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, JPP) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tuntutan mengadakan audit digital ini hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

“Malangnya, mereka ini rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merasakan mereka boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan saya tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Rafizi mendakwa motif sesetengah pihak dalam PKR seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk terus mempersoalkan keputusan pemilihan adalah bersifat serampang dua mata.

Pertama, katanya, sebagai cubaan mengubah keputusan supaya beliau dan beberapa orang lain yang menang tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

Kedua untuk membina persepsi kononnya kemenangan beliau dengan jurang yang besar ialah disebabkan manipulasi besar-besaran.

Hakikatnya, kata Rafizi, kumpulan tersebut tidak boleh menerima kenyataan sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan mereka yang berlegar sekitar Anwar.

“Selepas keputusan diubah akibat audit digital, ia masih tidak boleh mengubah sebahagian besar keputusan pemilihan kerana sentimen akar umbi telah diterjemahkan semasa pemilihan.

“Malangnya, kumpulan yang kalah tidak boleh menerima kekalahan. Mereka terus mengasak dan mengelilingi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pemilihan semula atau setidak-tidaknya membuat audit digital untuk mencapai hasrat mereka.

“Saya telah menyatakan pendirian bahawa parti akan terperangkap dengan permainan politik segelintir sedangkan majoriti parti telah membuat keputusan yang diterima dengan baik oleh rakyat umumnya,” katanya.

Sementara itu Rafizi juga menyatakan simpati terhadap Rodziah Ismail yang tewas merebut jawatan Ketua Wanita PKR selepas audit forensik dilakukan.

Katanya, keputusan undi bagi jawatan tersebut menimbulkan tanda tanya kerana tewas dengan 32 undi pada saat akhir.

“0.09 peratus mungkin margin paling kecil dalam dunia untuk sebuah parti utama sebuah negara. Saya juga dihubungi oleh pimpinan akar umbi di seluruh negara yang terkejut dengan pelbagai pertukaran di peringkat cabang.

“Ada yang telah diumumkan menang tiba-tiba kalah. Ada cabang yang undi fizikal (yang melibatkan ratusan ahli keluar mengundi) dibuang semua undi dan hanya tinggal undi atas talian,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, Kongres Nasional PKR tidak boleh ditangguhkan hanya untuk melayan kerenah segelintir calon yang kalah.

Ini kerana pilihanraya umum boleh berlaku pada bila-bila masa dan keutamaannya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti untuk berdepan dengan lawan.- MalaysiaGazette