Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk melanjutkan pengurangan kadar sewa kepada peniaga dan penjaja bagi tempoh enam bulan lagi bermula Julai 2022 sehingga Disember 2022.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah ini mengurangkan bebanan dan menambah nilai aliran wang dalam kalangan
peniaga dan penjaja kecil.

Menurutnya, ia melibatkan 5,766 akaun yang berada dalam kategori pasar berbangunan dan pusat penjaja DBKL, dengan anggaran pengurangan hasil sebanyak RM3,072,447 untuk tempoh pelanjutan pengurangan kadar sewa berkenaan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL berharap inisiatif pelanjutan ini mampu membantu para peniaga dan penjaja kecil yang terlibat untuk terus mengoptimumkan operasi perniagaan mereka, sekali gus membantu mengurangkan bebanan hidup di ibu kota,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, DBKL telah memberi inisiatif pengurangan kadar sewa kepada para peniaga dan penjaja kecil bermula Januari 2022 sehingga Jun 2022, inisiatif bantuan Covid-19 bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil yang terkesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia merupakan antara 10 bentuk bantuan dan inisiatif telah diberikan di bawah kelolaan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP), DBKL yang menelan kos atau pengurangan hasil sebanyak RM31,765,067.26. – MalaysiaGazette