KUANTAN – Walaupun hanya seekor anjing pengesan narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun jasanya membantu operasi tetap dikenang.
Itu penghargaan kepada salah seekor anjing K9 milik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang yang mati akibat sakit tua pada Isnin lalu pada usia 13 tahun lapan bulan.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, anjing hitam berasal dari Jerman itu dikenali sebagai Bad telah menabur khidmat bakti sejak 4 Ogos 2011.
Menurutnya, sepanjang perkhidmatan, Bad berjaya membantu pihak polis dalam dua kejayaan besar dalam menumpaskan sindiket dadah pada 2012 dan 2014.
“Setelah bertarung nyawa akibat sakit tua, Bad menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 petang 4 Julai lalu ketika mencecah umur 13 tahun lapan bulan.
“Ia bersamaan jangka hayat manusia berusia 91 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anjing jantan spesis Labrado itu merupakan anjing yang pakar dalam pengesanan pelbagai jenis dadah di bawah seliaan Koperal Willen anak Slamping @ Sirampin.
Bagi menghargai jasa dan khidmat bakti Bad, Pegawai Turus D6, JSJ Pahang, Asisten Superintendan Chia Che Chau mewakili Ketua JSJ Pahang bersama pegawai dan anggota memberi penghormatan terakhir kepada haiwan berkenaan.
Selain itu, polis Pahang akan merealisasikan K9 Memorial Park dengan menaik taraf kawasan tersebut yang kini telah menjadi tempat persemadian dua ekor anjing K9.
Bad dikuburkan bersebelahan Tho yang mati pada 19 September 2020 dan permergiannya diiringi tabik hormat oleh 10 pegawai dan anggota polis.
“Jasa dan bakti Bad kekal sebagai sumbangan buat negara tercinta,” kata Mohd. Yusri. – MalaysiaGazette