Datuk Jaseni Maidinsa

GEORGE TOWN – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kembali beroperasi selepas empat jam dihenti tugas kecemasan susulan bekalan air mentah Sungai Muda keruh akibat banjir di Baling, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan berkata, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan adalah 3,000 NTU iaitu penarafan kekeruhan yang luar biasa.

Jelas beliau, susulan itu, LRA Sungai Dua dihenti tugas dan langkah kecemasan itu dilakukan bagi mengelak pengeluaran air terawat tidak selamat yang tidak mematuhi parameter Kawalan Kualiti Air Minuman ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Henti tugas sementara LRA Sungai Dua menyebabkan tekanan air di semua saluran paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang menurun. Ini kerana LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 80% air terawat yang dibekalkan di seluruh Pulau Pinang setiap hari.

“Justeru sebagai langkah pemulihan, PBAPP telah mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah yang disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan air mentah di Terusan Sungai Dua.

“Bagaimanapun, LRA Sungai Dua kembali beroperasi semula pada jam 12 tengah hari tadi secara berperingkat selepas pihak kami mendapati paras kekeruhan air mentah berada pada tahap yang boleh diterima,” kata beliau.

Tambah Jaseni, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari esok.

“PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan sementara yang berlaku. Bagaimanapun, semua pengguna yang terjejas perlu tahu bahawa peningkatan mendadak dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah faktor yang di luar kawalan PBAPP.

“Pihak kami akan terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda secara berterusan selama 24 jam selain akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang bagi memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua,” jelas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

Gangguan bekalan air Pulau Pinang akibat banjir Baling

Terdahulu, Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini terpaksa dihenti operasi selama empat jam susulan banjir di Baling, Kedah.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, LRA Sungai Dua dihentikan operasi selama empat jam sehingga pukul 12 tengah hari tadi susulan bekalan air mentah dari Sungai Muda keruh akibat banjir tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast