Penang civil servants Syawal Aidilfitri special financial aid
Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini terpaksa dihenti operasi selama empat jam susulan banjir di Baling, Kedah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, LRA Sungai Dua dihentikan operasi selama empat jam sehingga pukul 12 tengah hari tadi susulan bekalan air mentah dari Sungai Muda keruh akibat banjir tersebut.

“Kita terima maklumat berhubung henti tugas loji rawatan air di Kedah yang mana notis itu merujuk kepada kawasan Sungai Petani dan Pinang Tunggal kerana air mentah terlalu keruh atau kadar keruhan air mentah dari Sungai Muda terlalu tinggi akibat daripada kesan banjir di Baling.

“Jadi LRA Sungai Dua turut menghadapi isu yang sama di mana air mentah mempunyai kadar keruhan terlalu tinggi sekali gus menyebabkan operasi rawatan air mentah tercemar dengan selut.

“Susulan itu, kita terpaksa hentikan operasi loji rawatan tersebut yang mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan di negeri mengalami gangguan bekalan air,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Tambah Kon Yeow, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengambil tindakan awal dengan mengalirkan air mentah dari Empangan Mengkuang untuk kegunaan penduduk negeri ini.

Jelas beliau, air mentah dari Empangan Mengkuang itu mampu menampung kegunaan penduduk Pulau Pinang selama 100 hari.

“Empangan Mengkuang berfungsi sebagai empangan simpanan air sekiranya berdepan keadaan luar biasa seperti sekarang iaitu bekalan air mentah terganggu.

“Kita tak cakap tak perlu bekalan air mentah Sungai Muda cuma kita ada simpanan jika kecemasan dan kita harap Sungai Muda akan pulih dalam tempoh terdekat.

“Saya difahamkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dan pasukannya sedang bermesyuarat bagi membincangkan tindakan sewajarnya dan satu kenyataan yang lebih terperinci akan dikongsi pihak berkaitan,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette