HULU SELANGOR – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) ditutup tepat pada pukul 10 pagi selepas dibuka 9 pagi ini.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.
Terdahulu, penyokong calon yang bertanding hadir ke pusat penamaan calon seawal 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.
PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei. – BERNAMA