JOHOR BAHRU – Polis memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, remaja bernama Nur Qasidah Fadzil itu beralamat akhir di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram di sini.
“Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Johor Bahru Selatan sedang mengesan orang hilang (OH) iaitu seorang remaja perempuan berbangsa Melayu berusia 14 tahun.
“Dia adalah warga tempatan yang telah dilaporkan hilang sejak Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azrul Hisham, remaja berkenaan mempunyai rambut berwarna hitam dengan kulit sawo matang selain berbadan kurus dan ketinggian 151 sentimeter.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Yusuf Md Ali di talian 01111878186 atau talian hotline IPD Johor Bahru Selatan, 07-2182323.- MalaysiaGazette
















