Bomba memadam api yang menjilat stor di bangunan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Taman Shamelin Perkasa, Cheras tengahari tadi. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Sebuah stor simpanan barang-barang pejabat musnah dijilat api dalam kebakaran di bangunan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Taman Shamelin Perkasa, Cheras tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 1.24 tengahari.

Sepasukan anggota dari tiga buah balai iaitu Balai Hang Tuah, Balai Cheras dan Balai Pudu bersama 35 anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, kita dapati kebakaran berlaku di tingkat satu bangunan yang berkeluasan 20×20 kaki persegi.

“Api telah menjilat keseluruhan stor simpanan barang dan ruang berkenaan musnah 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut jurucakap itu, api berjaya dipadamkan daripada merebak ke tempat lain di dalam bangunan beberapa minit selepas itu menggunakan teknik pemadaman secara offensive.

Bagaimanapun, tiada nyawa yang terkorban dalam kejadian itu dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette