Pemain UPNM meraikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan UKM pada Perlawan Akhir Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2022 di Stadium UKM, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2022.

BANGI – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul juara Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi Piala Menteri bagi edisi 2019/2020 yang julung kali diadakan malam tadi.

Dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu UPNM selaku pelawat telah menundukkan pasukan UKM dengan agregat 3-0 untuk bergelar juara liga tersebut.

UPNM yang turun dalam aksi kedua perlawanan akhir dengan kelebihan 1-0 menentang UKM sebelum menang 2-0 malam tadi memuktamadkan gelaran menjadi milik mereka.

Kedua-dua pasukan pada awal separuh masa pertama berbalas serangan sebelum UPNM yang berjersi kuning hitam berjaya membuka jaringan pertama pada minit ke-15 menerusi Muhammad Ikhmal Zuri Asmadi.

Pemain UPNM, Nazrin Nordin (kiri) mengawal bola sambil cuba dihalang pemain UKM, Syahir Abd Rahman (tengah) pada Perlawan Akhir Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2022 di Stadium UKM, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2022.

Dengan berbekalkan semangat gol pembukaan itu, UPNM terus menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan melakukan serangan di gawang lawan bertalu-talu.

Bagaimanapun, kesemua percubaan di gawang lawan gagal diterjemahkan dalam bentuk gol oleh UPNM.

UKM yang ketinggalan satu gol terus mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan bagaimanapun terus buntu dalam mengikat kedudukan sebelum separuh masa pertama ditangguhkan dengan keputusan 1-0 memihak kepada UPNM.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di gawang gol masing-masing.

Bagaimanapun, pasukan UKM banyak memperolehi peluang mencipta gol di gawang pertahanan UPNM.

Malangnya segala peluang terbaik itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera serangan skuad tersebut.

UKM memperoleh beberapa peluang tepat untuk mencipta gol malangnya kelincahan bek pertahanan  serta penjaga gol UPNM berjaya menepis segala percubaan lawan yang ketandusan mencari gol panyamaan.

Bagaimanapun, UPNM sekali lagi menghukum UKM dengan gol kedua selepas pemain Thinesvarman Nathan berjaya mengeleceh bola memintas beberapa pemain lawan sebelum merembat kencanng bola ke gawang lawan untuk gol kedua yang juga gol kemenangan dengan perlawanan berbaki 15 minit lagi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad hadir menyaksikan perlawanan akhir itu telah menyampaikan piala kemenangan itu kepada pasukan UPNM.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tiga kanan) melihat aksi pasukan UPNM dan pasukan UKM pada Perlawan Akhir Piala Menteri Pengajian Tinggi 2019/2022 di Stadium UKM, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2022.

Manakala UKM diangkat sebagai Naib Juara Liga tersebut.

UPNM turut merangkul anugerah Pemain Terbaik perlawanan akhir yang menjadi milik Thinesvarman dan juga penjaring gol terbanyak Liga IPT edisi 2019/20 menjadi milik Muhammad Hadi Mohamad yang menjaringkan tujuh gol.

Pertandingan bola sepak berkenaan yang julung kali diperkenalkan itu sepatutnya diadakan pada April 2020 namun penularan Covid-19 telah memaksa ia ditunda untuk dua musim berturut-turut sebelum dilaksanakan Julai 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast