Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Sikap lepas tangan atau halai balai Menteri Besar Kedah atas punca banjir kepala air di Baling dikesali.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara itu menunjukkan dengan jelas masalah besar yang mendasari kerajaan negeri.

“Menteri Besarnya gemar mengambil sikap lepas tangan, ambil mudah dan halai balai. Mentaliti ‘bukan aku yang buat, mengapa aku perlu kisah’ nampaknya sangat menebal dalam kepimpinan negeri sedia ada. Malah, semua perkara hendak dipolitikkan dan dibincangkan dalam ruang litup politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, melihatkan kepada bentuk banjir dan kejadian ‘kepala air’ yang berlaku, longgokan kayu dan arus deras yang membadai sekelip mata, adalah jelas bahawa bencana alam ini tidak sepenuhnya bersifat semula jadi.

Melainkan semua itu adalah kesan “langsung aktiviti pembangunan yang tidak lestari, tidak terancang dan dipacu ketamakan.

“Projek penanaman durian besar-besaran dikenali Ladang Rakyat yang dilulus dan dimulakan oleh Pas di tanah bukit berkeluasan 52 ekar di Hutan Simpan Gunung Irau berhampiran Kupang yang selama ini menjadi kawasan tadahan hujan dikatakan menjadi punca utama bencana banjir terburuk ini,” dakwanya.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada satu pun pihak berkuasa negeri dan persekutuan yang mengaku bersalah atau mengambil pertanggungjawaban apatah lagi pihak swasta yang selama ini hanya mengaut keuntungan.

“Pas sekadar membisu. Pemimpin parti tersebut di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan kedua-dua menolak pertanggungjawaban mereka. Menteri Besar Kedah semasa mengulas isu ini sekadar dengan mudah menepis dan menangkis segala pertanggungjawaban,” katanya.

Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor, katanya, hanya memberi alasan projek Ladang Rakyat yang didakwa menjadi punca bencana bukanlah projek yang diluluskannya dan beliau tidak ada sebarang kepentingan dan tidak ada kena-mengena dengannya.

Kedua, Menteri Besar sudah pernah mengarahkan projek tersebut dihentikan pada tahun 2020 dan semua itu sudah mencukupi.

Malah, kata Shaiful Hazizy, Sanusi turut menegaskan yang sebenarnya tiada bukti saintifik untuk menyatakan projek Ladang Rakyat yang diluluskan Pas pada 2019 tersebut adalah punca banjir.

“Yang membingungkan kita, pada tahun lalu, beliau sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa projek Ladang Rakyat tersebut adalah salah satu punca banjir sekali gus menuding jadi kepada Kerajaan Pakatan Harapan.

“Barangkali pada Menteri Besar Kedah, sekadar memberi arahan sudah mencukupi. Tidak perlu kepada follow-up. Tidak perlu kepada penilaian dan pemantauan berkala. Tidak perlu kepada laporan lengkap kepada pihak berkuasa atau Dewan Undangan Negeri. Semua itu pada beliau tidak penting, tidak perlu.

“Nampaknya tidak ada sebarang budaya tadbir urus yang serius, yang benar-benar mendalami isu dan memberikan jalan keluar dengan bersungguh-sungguh dan berkesan. Tidak ada,” dakwanya.

Sehingga kini, katanya, lagi tidak ada sebarang ketegasan ditunjukkan untuk mengambil inisiatif membuka siasatan yang telus, mengkaji punca dan mengubah polisi serta garis panduan pembangunan.

“Menteri Besar Kedah harus sedar. Sikapnya yang semberono, cakap lepas dan suka berjenaka tidak bertempat tidak akan membawa kebaikan sebenar kepada Kedah. Semua itu tidak diperlukan oleh sebuah negeri yang sedang berhempas pulas untuk pulih. Jauh sekali dari memadai.

“Saya sarankan agar Menteri Besar Kedah menunjukkan empati dan nilai intelek yang lebih besar. Uruskanlah musibah ini menjangkaui tabiat menyalahkan orang lain atau sekadar melepaskan diri dan kawan-kawan sendiri. Lihatlah punca sebenar masalah. Berilah kepimpinan dan tunjukkan ketegasan.

“Hujan akan berhenti. Banjir akan surut. Yang pergi tidak akan kembali tetapi, seperkara yang pasti, bencana bermusim seperti ini tidak akan selesai dengan jenaka dan sindiran spontan,” katanya.- MalaysiaGazette