JKM masih mengesan ibu kandung kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di bangunan rumah kedai di Suria 7, Bandar Seri Alam pada April lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris dua yang terdiri seorang kanak-kanak dan bayi perempuan yang terabai di negeri ini. 

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, salah seorang mangsa pengabaian itu ialah Brian Lee Cheng Hong berusia lapan tahun.

Brian

Menurutnya, penjaga asal kanak-kanak itu iaitu dikenali sebagai Beng Chuang telah meninggal dunia pada 2012 akibat  kemalangan di tempat kerja.

Kanak- kanak berkenaan dikatakan pernah menerima penjagaan daripada seorang warga emas berusia 62 tahun di bandar raya ini.

Bagaimanapun ekoran tidak mampu memberi penjagaan kepada Brian, wanita berkenaan memohon untuk menempatkan kanak-kanak di pusat perlindungan.

“Brian kemudian ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak selama tiga tahun mulai 29 Disember 2015 hingga 29 Disember 2018 dan kini ditempatkan di pusat perlindungan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini dan terdapat pasangan suami isteri yang menunjukkan minat bagi menjadikannya sebagai anak angkat.

“Bagi tujuan itu, JKM mahu mengesan warisnya dan berharap mereka tampil menghubungi JKM dengan segera,” katanya sambil menambah orang ramai boleh menghubungi pihaknya di talian 07-2232606 atau 07-2232607.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya juga masih mengesan ibu kandung kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di bangunan rumah kedai di Suria 7, Bandar Seri Alam pada April lalu.

“Bayi berkenaan dalam keadaan sihat dan beberapa pasangan suami isteri juga menunjukkan minat bagi menjadi keluarga pemelihara dan bayi berkenaan kini berusia lebih tiga bulan.

“JKM berharap ibu kandung mahu pun waris bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Imsha itu tampil bagi membincangkan masa depannya bayi berkenaan,” katanya.

Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi pelindung kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07- 2232606.- MalaysiaGazette