Maritim Malaysia menahan lima kru nelayan warga Myanmar bersama sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C pada jarak lebih kurang 20 batu nautika dari Muara Kuala Pahang, pada Ahad lalu

KUANTAN – Lima nelayan warga Myanmar bersama bot antara yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berikutan tidak mempunyai permit kerja yang sah pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C itu ditahan pada jarak lebih kurang 20 batu nautika dari Muara Kuala Pahang disyaki melanggar syarat lesen.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati semua kru termasuk tekong berumur antara 21 sehingga 44 tahun.

“Manakala seorang daripadanya tidak mempunyai permit kerja yang sah dan kesemuanya merupakan warganegara Myanmar serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang mencurigakan.

“Bot tersebut dalam keadaan mencurigakan dan ditahan oleh Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Makmur di perairan Pahang pada jam lebih kurang 2.05 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut ditemui ketika pemeriksaan adalah beberapa peralatan menangkap ikan termasuk hasil laut dengan anggaran berat 950 kilogram.

Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa masuk ke Jeti Penerpa di sini untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana mereka disyaki telah melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah.

Sementara itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN :

APMM Pahang anjur program kemasyarakatan

APMM gagalkan cubaan menyeludup rokok

“Apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan seterusnya diingatkan supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette