Anggota APMM Pahang berjaya merampas 35 peti berisi rokok tidak bercukai bernilai RM105,000 ketika rondaan dalam Operasi Makmur.

KUANTAN – Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpaskan cubaan dua individu menyeludup rokok menggunakan bot di perairan Kuantan dalam Operasi Makmur awal pagi tadi.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya menahan bot berkenaan di kedudukan 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan pada jam 1.35 pagi.

“Bot samaran yang dinaiki oleh tiga anggota APMM Pahang yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan telah mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan bersama dua suspek bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.

“Sebaik dirapati, bot suspek memecut laju ke hulu Sungai Kuantan dan bertindak meninggalkan bot gentian kaca terbabit dengan meloloskan diri di celahan hutan bakau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Kamal, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 35 peti berisi rokok tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

Kesemua rokok dianggarkan bernilai RM105,000 termasuk cukai, dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Tambahnya, APMM Pahang akan mempergiatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras.

Orang ramai yang mempunyai aduan dan maklumat boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast