Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor Tahun 2021 di One Plaza Kuala Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2022.

KUALA SELANGOR – Susulan penubuhan Jihad Memerangi Orang Tengah, Federasi Ternakan Ayam yang ditubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dijangka dapat menangani isu orang tengah di negara ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, federasi yang ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dijangka mampu membantu kerajaan untuk menstabilkan harga sumber protein itu.

“Federasi Ternakan Ayam yang disertai 15 koperasi ketika ini bertanggungjawab menguruskan pusat pengumpulan dan jualan ayam kepada pengguna,” katanya pada sidang media di One Plaza, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Hadir sama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, kesemua koperasi itu berfungsi mewujudkan pusat pengumpulan dan pengedaran ayam di seluruh negara.

“KUSKOP telah mengadakan perbincangan dengan koperasi dan usahawan yang terlibat dalam ternakan ayam termasuk pemborong.

“Kementerian bercadang membeli ayam terus dari ladang sebelum dibawa ke pusat pengumpulan.

“Bekalan ayam itu kemudian terus dijual kepada pengguna pada harga lebih murah tanpa khidmat orang tengah,” katanya.

Selain itu, KUSKOP dijangka memperkenalkan perniagaan secara dalam talian selain mengimport ayam sejuk beku dari luar negara.

“Kita akan membawa ayam beku itu kerana pengeluarannya hampir sama dengan Malaysia.

“Selepas ini rakyat mempunyai pilihan sama ada mahu membeli ayam segar atau ayam sejuk.

“Kita akan pastikan ia dijual lebih murah dari pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette