Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pas tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan logo lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dalam perbincangan.

“Kita bincang nak ubah simbol, bincang dalam parti untuk buat simbol baru, bukan bendera dulu.

“Bendera sendirilah, kita belum keputusan,” katanya pada media hari ini.

Kenyataan terbaharu Abdul Hadi ini sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, pada minggu lalu, Muhyiddin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas membuat keputusan akan menggunakan logo PN pada PRU15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui kepemimpinan kedua-dua parti dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kalau saya masih ingat, kita semua bersetuju untuk menggunakan logo PN dan perkara ini boleh disahkan oleh kepimpinan Pas. Sebagai contoh di Johor, parti yang bertanding bukan Bersatu sahaja, sebaliknya Pas juga.

“Saya juga masih ingat kenyataan Presiden Pas yang dimaklumkan kepada saya, Pas akan menggunakan logo PN dengan menilai beberapa segi.

“Itu keputusan yang saya terima dan saya fikir keputusan itu masih kekal sehingga kini,” katanya.

Abdul Hadi percaya, Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan dengan mengambil kira keadaan ekonomi dunia.

Namun, katanya, Pas berpegang kepada tamat tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada pada tahun depan.

Tetapi, ujarnya, kalau keadaan terdesak PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.

Kemungkinan selepas pengumuman Bajet 2023. – MalaysiaGazette