Orang ramai beratur mengambil bekalan air daripada lori tangki di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Sebanyak 24 lokasi di sekitar negeri ini masih mengalami gangguan bekalan air susulan penutupan sementara loji rawatan air (LRA) Sungai Dua pada Rabu lalu akibat banjir di Baling, Kedah.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan berkata, 18 lokasi membabitkan bahagian Pulau manakala enam lagi di Seberang Perai Selatan masih mengalami gangguan air setakat ini.

Antara lokasi yang masih terjejas adalah Lebuh Bukit Jambul; Jalan Tun Dr Awang; Jalan Paya Terubong (Relau); Sungai Ara; Jalan Ismail Hashim; Mayang Pasir Flat; Bukit Belah; Gertak Sanggul; Kampung Matahari Naik; Bukit Gemuruh; Batu Itam; Bukit Penara; Pondok Upeh; Pulau Betong; Jalan Chai; Kampung Teluk Tempoyak; Mutiara Perdana serta Sunway Cassia.

Turut terjejas, Taman Seruling Emas; Sungai Baung, Sungai Duri; Taman Widuri; Kompleks Penjara serta Hospital Sungai Bakap.

“Susulan pemulihan penuh kapasiti pengeluaran air 100 peratus dari LRA Sungai Dua kita mengutamakan penghantaran lori tangki air atau tangki statik ke hospital dan pusat dialisis di kawasan yang masih menunggu penyambungan bekalan air.

“Selain itu, pengagihan air minuman bernilai RM1 juta turut dibuat kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh Pulau Pinang bagi menyokong kawasan yang masih menunggu bekalan air disambung semula,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah PBAPP, pihaknya juga melakukan pemeriksaan secara manual di rumah pam air yang terjejas.

“Terdapat 95 rumah pam di seluruh negeri ini dan rumah-rumah pam ini hanya boleh dimulakan semula jika tekanan air mencukupi,” ujarnya.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangka bekalan air untuk kira-kira 20 peratus pengguna di kawasan Gelugor dan Teluk Kumbar di sini akan diperoleh selewat-lewatnya pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kawasan yang masih belum mendapat bekalan air itu terletak di kawasan yang tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk penyaluran air seperti sediakala.

Operasi LRA di Sungai Dua di sini terpaksa dihenti tugas selama empat jam pada Rabu lalu susulan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi di Sungai Muda susulan banjir di Baling, Kedah. – MalaysiaGazette