Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pahlawan terbilang Melayu Mat Kilau mungkin akan memimpin kempen Malaysia First sekiranya beliau masih hidup hari ini, kata pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, wira Tanah Melayu yang menentang penindasan penjajah British itu akan memastikan setiap rakyat Malaysia mesti menganggap diri mereka sebagai rakyat di negara sendiri terlebih dahulu.

“Dalam tahun 2022, sekiranya Mat Kilau masih hidup hari ini, dia mungkin sedang memimpin kempen untuk memastikan titik perubahan di mana semua rakyat Malaysia menyedari yang mereka pertamanya adalah rakyat Malaysia.

“Di mana untuk merealisasikan impian Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, semua orang tanpa mengira kaum, agama atau kawasan perlulah melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dalam pilihan raya yang akan datang dan bukannya 30 atau 40 tahun dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis penyertaan lima anggota baharu ke dalam DAP dan teks ucapan dikongsi dalam blognya.

Dr Zubaidah Ibrahim yang merupakan bekas dekan dan profesor madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya pada tahun 2011 antara yang menyerahkan borang keahlian kepada Kit Siang.

Selain Zubaidah turut menyertai DAP adalah S. Puspanathan, Sharlene Tan, Mohd Feroz Zainal, Muhamad Don Radzuan dan Tan Guan Seng dalam satu majlis di Serendah.

Menurut Kit Siang lawatanya ke Serendah memberinya harapan bahawa rakyat masih peduli untuk menyelamatkan negara dengan memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara.

Tambahnya, persoalan utama untuk Malaysia hari ini bukanlah mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Sebaliknya, persoalan sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100.

“Apalah gunanya kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya negara kita terus ke belakang dan ditinggalkan oleh semakin banyak negara, sehingga menjadi sebuah negara gagal sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi atau menjadi sebuah kleptokrasi yang lebih buruk,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pahlawan Mat Kilau pasti kempen hak asasi manusia adalah warga negara kerakyatan daripada negara-negara asal masing-masing. Tengok negara-negara kecil bekas jajahan British terutamanya Qatar, UAE, dan Kuwait kutip cukai expats sehingga ke cucu-cicit demi memperkayakan pribumi mereka. Malangnya, politikus Pak Pandir kemaruk undi expats.

Comments are closed.