KUANTAN – Kehadiran sekumpulan lelaki berbaju Melayu tradisional, siap bertanjak di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 untuk menunaikan solat sunat Aidiladha pagi ini mencuri perhatian jemaah lain.
Pemakaian baju Melayu pada hari raya adalah biasa tapi apabila bertanjak di kepala ia nampak luar biasa.
Wartawan MalaysiaGazette yang sempat bertemu dengan kumpulan ini diberitahu, mereka adalah ahli Kelab Serindit Mati Tersepit.
Pengasas kelab ini berkata, pemakaian busana tradisional Melayu lengkap itu telah diamalkan pada pagi hari raya sejak lima tahun lalu
Noor Azman Noor Ali berkata, usaha itu dibuat bagi memelihara kesenian busana Melayu agar tidak dilupai.
Jelasnya, permuafakatan untuk memakai busana ini setiap kali hari raya dibuat melalui sistem penggiliran dalam kalangan ahli.
”Tahun ini kita memang rancang untuk memakai pakaian ini semasa solat sunat AidilAdha juga sepeti solat sunat Aidilfitri ‘lalu,” katanya.
Noor Azman yang mesra dengan panggilan Man Kayan berkata, dia sendiri telah mula berjinak-jinak dengan seni tanjak sejak 10 tahun lalu dan kini mewarisi kemahiran pembikinan seni tanjak itu kepada anak lelakinya.
Jelasnya, anaknya, Noor Aliff Noor Azman yang berusia 23 tahun juga memepelajari kaedah pembuatan tanjak sejak dibangku sekolah dan mula mendapat permintaan dalam kalangan peminat seni itu.
”Tanjak banyak digunakan ketika sambutan majlis, program badan bukan kerajaan (NGO) termasuk majlis kahwin,” ujarnya yang turut berminat terlibat dalam aktiviti gendang, silat, ilmu lagu rakyat yang memerlukan pakaian tradisional lengkap bersiap tanjak serta capal.
Tambah beliau, anak Melayu seharusnya bangga dalam mengenakan pakaian tradisonal Melayu dan tidak perlu malu kerana pemakaian itu mencerminkan bangsa sendiri dan memerlukan keberanian. – MalaysiaGazette